Tuesday, July 21, 2009

TERIMA KASIH EN. HASBULLAH (ROY)

Pada 17 Julai 2009, Kaunselor Pentadbir ELTC iaitu Mr. Ramesh telah menganjurkan ceramah yang bertajuk Sentuhan Kemanusiaan. Penceramah yang dijemput adalah En. Hasbullah b. Hj. Abu Kassim (Roy) iaitu kaunselor dari Unit Kaunseling dan Keutuhan Bahagian Pendidikan Guru. Sekalung tahniah diucapkan kepada en. Roy kerana telah memberikan ceramah ini dengan begitu menarik sekali. Melalui aktiviti yang dijalankan, muzik iringan lagu alleycats dan intonasi suara yang pelbagai telah berjaya menarik perhatian staf ELTC yang hadir pada hari tersebut. Kebanyakan staf yang telah hadir memberikan komen yang positif terhadap ceramah yang disampaikan oleh en. Roy. Tahniah sekali lagi kerana sedikit sebanyak telah mengukuhkan lagi pandangan positif staf ELTC terhadap peranan kaunselor dalam membentuk perhubungan interpersonal sesama insan. Ternyata pengalaman, kemahiran dan ilmu kaunseling yang dimiliki en. Roy telah digabungjalinkan dengan begitu baik sewaktu menyampaikan ceramah. Satu lagi kekuatan yang saya lihat pada en. Roy adalah beliau bercakap dari hati ke hati dan keikhlasan itu telah turut meninggalkan kesan di hati audien yang mendengarnya. InsyaAllah lain kali ELTC ingin menjemput lagi en. Roy ke sini dalam program yang lain pula. Terima kasih sekali lagi. En. Hasbullah menerima cenderahati daripada Ketua Jabatan Khidmat Pengurusan Pn. Farah Mardhy bt. Aman.

Tuesday, July 7, 2009

SELAMAT MENJALANI PRAKTIKAL KSPK 2009

Bermula 13 Julai, 10 orang peserta Kursus Sijil Perguruan Khas English Language Teaching Centre akan menjalani praktikal selama 6 minggu di sekolah terpilih di sekitar Lembah Klang. Setelah berada di ELTC menimba ilmu dalam bidang pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris daripada pensyarah-pensyarah ELTC yang pakar dalam bidang ini, kini mereka perlu mengaplikasikan semua ilmu yang mereka pelajari dalam bilik darjah. Walaupun, peserta KSPK merupakan guru-guru yang telah lama mengajar, namun pencatuman ilmu baru dan ilmu sedia ada akan menambahkan lagi kemantapan serta kemahiran mereka sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah. Warga ELTC meletakkan kepercayaan yang sangat tinggi kepada peserta KSPK 2009 bahawa mereka mampu membawa pelbagai idea yang bernas dan jitu apabila berhadapan dengan para pelajar di sekolah nanti. Pastinya mereka mempunyai iltizam yang sangat tinggi untuk membantu sekolah dan pihak Kementerian Pelajaran membentuk semangat cintakan pelajaran Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar di sekolah melalui pelbagai teknik terkini yang telah mereka terima semasa berkursus di ELTC ini. Selamat menjalani praktikal peserta KSPK 2009! Semoga anda menjadi yang terbaik antara yang terbaik!