Wednesday, September 30, 2009

SELAMAT DATANG PESERTA-PESERTA 6 MINGGU TAMBAH OPSYEN

Pada 28 September 2009 (Isnin) pendaftaran untuk peserta-peserta 6th week conversion Bahasa Inggeris telah dijalankan di Bilik E & L, Tingkat 1, Blok Menara IPBA. ELTC mengalu-alukan kehadiran peserta-peserta ini berkursus di sini selama 6 minggu. Kebanyakan peserta kursus ini datang dari negeri Selangor dan hanya sebahagian kecil sahaja dari Pahang dan Negeri Sembilan. Justeru, hanya 12 orang peserta sahaja yang tinggal di asrama ELTC. Pada hari pendaftaran, seramai 24 orang peserta telah mendaftarkan diri dan pendaftaran telah bertambah pada hari kedua (29 September 2009) dan hari ketiga (30 September 2009) menjadikan semua peserta kursus tersebut kepada 29 orang. Kehadiran pada hari pertama telah disambut oleh Pn. Elaine Pang Ling Ling yang bertugas sebagai penyelaras kursus ini. Pn. Elaine telah memberikan taklimat ringkas berkaitan dengan kursus ini. Pegawai Hal Ehwal Peserta pula telah memberikan taklimat ringkas berkaitan dengan peraturan berkursus dan peraturan di asrama. Selain itu, pegawai HEP juga telah memaklumkan mengenai perkhidmatan kaunseling yang boleh membantu peserta kursus yang berhadapan dengan sebarang konflik personal. Wakil peserta sedang memberikan ucapan Majlis Perasmian kursus ini telah dijalankan pada hari kedua peserta ini berada di sini iaitu pada 29 September 2009. Bertempat di bilik yang sama (E & L), majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah ELTC iaitu Y.M. Raja Azizah Hanim bt. Raja Abdul Aziz. Antara lain yang dinyatakan oleh Timbalan Pengarah dalam ucapan perasmian beliau adalah berkaitan dengan ilmu baru yang diperoleh oleh peserta kursus yang boleh digunakan oleh mereka untuk mendidik anak-anak murid di sekolah dengan lebih berkesan. Y.M Raja Azizah Hanim bt. Raja Abdul Aziz sedang menyampaikan ucapan perasmian. Antara ahli akademik yang hadir Ketua Jabatan turut serta dalam majlis perasmian ini. Unit Hal Ehwal Peserta ELTC dan seluruh warga ELTC mengucapkan selamat datang dan selamat berkursus kepada semua peserta 6th Week Conversion Bahasa Inggeris untuk guru-guru sekolah rendah yang berkursus di sini. Semoga mereka semua menjadi guru yang cemerlang dan sukses dalam kerjaya. Sekian. Semoga berjaya untuk semua peserta kursus 6 Minggu Tambah Opsyen Bahasa Inggeris

Tuesday, September 22, 2009

PERSIAPAN HARI RAYA

Sebelum kehadiran Syawal yang mulia, persiapan perlu dilakukan untuk memeriahkan sambutan Hari Raya Aidil Fitri yg akan menjelma. ELTC juga tidak terkecuali dalam suasana persiapan hari tersebut. Kerjasama staf pengurusan jelas kelihatan sewaktu menghiasi ruang pejabat dgn warna warni Aidil Fitri. Persiapan ini dibuat pada masa rehat pukul 1 hingga pukul 2, 3 hari sebelum bercuti berhari raya. Kesungguhan yang ditunjukkan oleh staf-staf ini sewajarnya dipuji. Sesungguhnya sambutan Hari Lebaran ini sangat bermakna bagi seluruh umat Islam. Justeru, apa yg dibuat oleh staf pengurusan ELTC ini wajar diteruskan pd setiap tahun. Bukan itu sahaja, malahan ia turut perlu dilakukan pd setiap kali tibanya Tahun Baru Cina dan Deepavali utk melambangkan ELTC sebagai sebuah institusi yang menyahut slogan Y.A.B Perdana Menteri iaitu 1 MALAYSIA. Sekian buat kali ini.

Thursday, September 17, 2009

Majlis Berbuka Puasa

Pada 11 September 2009, English Language Teaching Centre telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan bersolat jamaah untuk mengeratkan silaturrahim antara staf. Walaupun ia diadakan secara sederhana, namun ianya meriah dengan kehadiran anak-anak kecil yang pelbagai keletah. Terasa kami bagaikan sebuah keluarga besar yang kuat ukhuwahnya. Karenah anak-anak kecil (anak-anak staf) ini begitu menghiburkan. Ada yang pendiam, namun tidak kurang juga yang sangat lincah. Ada yang pandai bergambar dan ada juga garang tidak boleh diusik. Pastinya Y.M Raja Azizah Raja Abd Aziz (Timbalan Pengarah ELTC) turut terhibur dengan keletah cucu-cucunya(anak-anak staff) yang pelbagai usia dari kanak-kanak ke remaja. Apa yang boleh dirumuskan di sini, majlis ini hanyalah sebagai alat namun apa yang penting adalah pengisian majlis ini yang sangat bermakna. Berbuka bersama, bersolat bersama dan makan malam bersama. Mungkin tahun depan kita akan mengadakan majlis ini dengan lebih besar lagi. Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Pengerusi Kelab Staf dan Ahli Jawatankuasanya yang telah berusaha untuk merealisasikan majlis ini. Banyak perkara yang boleh ditafsirkan melalui majlis ringkas ini. Terima kasih kepada semua yang terlibat. Antara staf ELTC yang hadir pada hari tersebut. Kemeriahan terasa bersama dengan keluarga staf ELTC yang hadir.

Tuesday, September 15, 2009

MENGHORMATI YANG TUA MENYAYANGI YANG MUDA

Unit HEP ELTC telah mengajukan slogan Menghormati Yang Tua dan Menyayangi Yang Muda kepada semua staf ELTC khususnya staf pengurusan yang kebanyakannya muda-muda belaka. Apa yang unit HEP ELTC lakukan ini adalah berlandaskan konsep kesalingan di antara dua generasi baru dan lama. Nilai menghormati orang yang lebih tua merupakan nilai sejagat dunia. Tidak ada bangsa dan agama di dunia ini yang menafikan nilai murni ini. Pemodenan tidak melunturkan nilai yang telah kita pegang sejak dari zaman batu lagi. Justeru, rasa penghormatan itu perlu dilahirkan melalui hati yang ikhlas agar ianya diterjemahkan semula melalui rasa kasih sayang orang yang lebih tua kepada yang muda. Nilai kasih sayang adalah nilai yang menjadi tunjang kehidupan kita. Kasih sayang membawa makna yang sangat besar pada orang muda. Bukan bermaksud menafikan keperluan kasih sayang pada yang tua namun, nilai kasih sayang pada yang muda mempunyai konotasi yang sangat luas. Kasih sayang yang tua kepada yang muda kadang-kadang diterjemahkan melalui teguran yang membina, didikan dan tunjuk ajar agar generasi pelapis ini mampu meneruskan kesinambungan nilai luhur ini dari generasi ke generasi. Justeru, kepada yang muda, marilah kita sama-sama melihat dalam diri kita adakah kita benar-benar memahami makna menghormati sebenar-benarnya? Menghormati bermakna:
  • Jika ditanya, jawab dengan sopan
  • Jika ditegur, menerima dengan terbuka
  • Jika bercakap dengan yang lebih tua, pandang pada wajahnya
  • Jika bergurau jangan lupa adabnya
  • Jika melahirkan rasa tidak puas hati, nyatakan dengan suara yang sederhana

Kepada yang lebih tua, sayangilah yang muda. Mungkin kita lupa bahawa ego kita menjadikan mereka jauh daripada kita dan lupa nilai kasih sayang yang tersirat dalam setiap tunjuk ajar kita.

  • Jika menegur, tegurlah dengan berhemah
  • Jika mendidik, didiklah dengan suara yang lembut atau sederhana
  • Jika hati rasa terluka kerana salah perlakuan yang muda, nyatakan kepada mereka dengan ikhlas dan berhemah.

Apa yang diharapkan agar setiap staf ELTC memahami makna Menghormati Yang Tua dan Menyayangi Yang Muda agar persefahaman, rasa penghormatan dan kasih sayang antara kita warga ELTC diteruskan dan ditingkatkan dari masa ke semasa.