Tuesday, September 15, 2009

MENGHORMATI YANG TUA MENYAYANGI YANG MUDA

Unit HEP ELTC telah mengajukan slogan Menghormati Yang Tua dan Menyayangi Yang Muda kepada semua staf ELTC khususnya staf pengurusan yang kebanyakannya muda-muda belaka. Apa yang unit HEP ELTC lakukan ini adalah berlandaskan konsep kesalingan di antara dua generasi baru dan lama. Nilai menghormati orang yang lebih tua merupakan nilai sejagat dunia. Tidak ada bangsa dan agama di dunia ini yang menafikan nilai murni ini. Pemodenan tidak melunturkan nilai yang telah kita pegang sejak dari zaman batu lagi. Justeru, rasa penghormatan itu perlu dilahirkan melalui hati yang ikhlas agar ianya diterjemahkan semula melalui rasa kasih sayang orang yang lebih tua kepada yang muda. Nilai kasih sayang adalah nilai yang menjadi tunjang kehidupan kita. Kasih sayang membawa makna yang sangat besar pada orang muda. Bukan bermaksud menafikan keperluan kasih sayang pada yang tua namun, nilai kasih sayang pada yang muda mempunyai konotasi yang sangat luas. Kasih sayang yang tua kepada yang muda kadang-kadang diterjemahkan melalui teguran yang membina, didikan dan tunjuk ajar agar generasi pelapis ini mampu meneruskan kesinambungan nilai luhur ini dari generasi ke generasi. Justeru, kepada yang muda, marilah kita sama-sama melihat dalam diri kita adakah kita benar-benar memahami makna menghormati sebenar-benarnya? Menghormati bermakna:
  • Jika ditanya, jawab dengan sopan
  • Jika ditegur, menerima dengan terbuka
  • Jika bercakap dengan yang lebih tua, pandang pada wajahnya
  • Jika bergurau jangan lupa adabnya
  • Jika melahirkan rasa tidak puas hati, nyatakan dengan suara yang sederhana

Kepada yang lebih tua, sayangilah yang muda. Mungkin kita lupa bahawa ego kita menjadikan mereka jauh daripada kita dan lupa nilai kasih sayang yang tersirat dalam setiap tunjuk ajar kita.

  • Jika menegur, tegurlah dengan berhemah
  • Jika mendidik, didiklah dengan suara yang lembut atau sederhana
  • Jika hati rasa terluka kerana salah perlakuan yang muda, nyatakan kepada mereka dengan ikhlas dan berhemah.

Apa yang diharapkan agar setiap staf ELTC memahami makna Menghormati Yang Tua dan Menyayangi Yang Muda agar persefahaman, rasa penghormatan dan kasih sayang antara kita warga ELTC diteruskan dan ditingkatkan dari masa ke semasa.

  • No comments:

    Post a Comment