Tuesday, June 2, 2009

KATA ALUAN

SELAMAT DATANG KE UNIT HAL EHWAL PESERTA ELTC Unit HEP ELTC berbeza daripada mana-mana unit HEP IPG yang lain kerana unit ini tidak mengendalikan peserta kursus sebelum perkhidmatan (pre-service). Unit ini hanya menguruskan peserta-peserta kursus dalam perkhidmatan (in-service) yang mengikuti kursus-kursus berkaitan dengan Bahasa Inggeris di institusi ini. Sehubungan itu, unit ini hanya mempunyai dua orang kakitangan yang bertugas iaitu Cik Norisham bt. Hj. Abd. Ghani yang bertindak sebagai Pegawai Hal Ehwal Peserta dan En. Subki b. Abdul Halim yang menjadi Penyelia Asrama juga merangkap Warden. Pada tahun 2009 ini, Kursus jangka panjang yang ditawarkan oleh Bahagian Pendidikan Guru kepada ELTC adalah Kursus Sijil Perguruan Khas – TESL. Justeru, pada masa ini kami mempunyai 10 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru dari Sekolah Menengah. Mereka ini dilatih oleh pensyarah-pensyarah yang pakar dalam Bahasa Inggeris yang menjadi tunjang pengkhususan institusi ini. Sungguhpun unit HEP hanya berurusan dengan 10 orang peserta yang menjalani kursus jangka panjang di ELTC, namun unit ini juga turut berurusan dengan peserta-peserta kursus pendek yang dijalankan sepanjang tahun. ElTC mempunyai asrama sendiri yang menjadi tempat untuk guru-guru yang berkursus menginap semasa kursus dijalankan. Asrama ini mampu menempatkan 80 orang peserta dalam satu masa. Asrama 7 tingkat ini mempunyai 8 apartment yang boleh digunakan untuk penempatan peserta. Setiap apartment mempunyai 5 buah bilik yang boleh menempatkan 10 orang peserta. Inilah uniknya asrama ELTC kerana walaupun ia berstatus asrama, namun rupa bentuk asrama tersebut lebih kepada apartment yang luas dan selesa. Setiap kali kursus-kursus ini dijalankan, penyelia asrama akan bertindak sebagai pegawai yang mendaftar kemasukan peserta di asrama (khusus untuk peserta di luar Kuala Lumpur). Pendaftaran ini biasanya dilakukan di dalam Dewan A Asrama ELTC. Selain itu, sebelum kursus dimulakan, seringkali Pegawai Hal Ehwal Peserta memberi taklimat“housekeeping” secara ringkas mengenai prosedur dan peraturan tinggal di asrama. Ini bertujuan untuk memudahkan peserta memahami prosedur di asrama. Selain itu, perkenalan peserta dengan Pegawai Hal Ehwal Peserta adalah penting kerana peserta boleh terus berjumpa dengan pegawai HEP sekiranya wujud masalah yang berkaitan dengan asrama, masalah interpersonal atau intrapersonal peserta selama berkursus di sini. Ini menunjukkan keprihatinan kami di ELTC atas kebajikan para peserta yang datang berkursus di tempat kami. Selain itu, ELTC juga mempunyai WIFI yang boleh digunakan secara percuma oleh peserta kursus. Namun, ia hanya boleh digunakan di bilik rehat dan sebahagian apartment sahaja terutama di bilik aras 2. Sungguhpun demikian, kami percaya ia mampu memberi kemudahan kepada peserta yang datang berkursus di sini. Sekiranya peserta kursus ingin mendapatkan apa-apa maklumat mengenai asrama ELTC, peserta boleh menelefon ke talian 03-22822888 sambungan 130 dan bercakap dengan Pegawai Hal Ehwal Peserta. Kami sedia membantu anda.

No comments: